Kurangkan Garam

Khamis, 27 Ogos 2009
Fakta garam
"Sodium Chloride" (NaCl) atau Natrium Klorid adalah nama lain untuk garam. Badan memerlukan sedikit garam sahaja (1 sudu teh sehari) untuk berfungsi secara normal. Terlalu banyak garam dikaitkan dengan penyakit tekanan darah tinggi yang boleh membawa kepada strok/ lumpuh, masalah buah pinggang atau penyakit jantung. Sodium atau Natrium dalam darah bertindak seperti span, penghisap air ke dalam badan dan menaikkan tekanan darah seluruh badan.

Mengenali garam dalam makanan
Kebanyakkan kita makan berlebihan garam, kita tidak menyedari perkara ini kerana garam tersembunyi, disebalik makanan-makanan lain seperti: Ikan masin, telur masin, sayur masin. Makanan-makanan diproses dan diawet seperti makanan dalam tin. Bahan perasa lain seperti serbuk perasa (MSG), kicap, sos cili, sos tomato, sos tiram, kiub perasa dan bumbu dalam mee segera. Makanan segera seperti kentang goreng, keropok, keju, burger dan sosej.

Mengesan garam
Biasakan membaca label makanan sebelum membeli. Ramuan yang awal disenaraikan ialah yang terbanyak dalam makanan itu. Lain-lain bentuk garam termasuk: Monosodium Glutamate (MSG), Sodium Bicarbonate atau baking soda, Sodium Citrate, Sodium Inosinate dan lain-lain berasaskan Sodium atau Natrium.

Kurangkan garam lebih lazat
Sedikit demi sedikit kurangkan garam dalam masakan anda. Kurangkan bahan yang banyak garam dalam masakan anda. Kurangkan tabiat suka menambah kicap, sos cili, sos tomato dalam hidangan anda. Sedikit demi sedikit hentikan penggunaan serbuk perasa. Bertukar kepada rempah, daun sup, daun bawang, daun ketumbar, pasli, bawang putih, halia, serai, lengkuas dan perasa-perasa asli untuk menyedapkan masakan.

Snek lebih sihat
Tukarkan tabiat suka makan keropok, kuaci, mee segera, kacang goreng, jeruk, samboi, coklat don seumpamanya Kepada Buah-buahan segar, ubi rebus/ panggang, kacang rebus/panggang, jagung, roti, bun atau sandwich.

0 ulasan:

Catat Ulasan